Wednesday, August 6, 2014

Prof. Dr.Taufik Yap Yun Hin - Tokoh China Muslim dibidang dakwah dan akademik



Itu kunci kejayaan Ketua Pusat Penyelidikan Sains Katalisis dan Teknologi merangkap Profesor Jabatan Kimia Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin yang sentiasa menjadikan Islam sebagai sumber inspirasi utama dalam hidupnya untuk terus memajukan diri selepas lebih 30 tahun memeluk agama suci ini.

Anak sulung daripada empat beradik itu boleh dikategorikan sebagai ikon pendidikan terbaik saudara baru di negara ini kerana memperoleh pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam bidang sains dan kimia seperti dinobatkan sebagai ‘Top Research Scientist Malaysia 2013’, Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor kategori Saudara Kita 2012, ‘The Outstanding Young Malaysian Award 2008’ dan Anugerah Saintis Muda Negara 2002. Selain memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Ahli Majlis Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), beliau yang dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah turut memanfaatkan masanya dengan berdakwah menerusi pelbagai program ceramah termasuk di radio tanah air yang lebih kepada sesi bertukar pendapat dan fikiran berkaitan Islam merangkumi pelbagai sudut.

Menceritakan semula saatnya memeluk Islam pada 1983, beliau yang berusia 46 tahun berketurunan hakka ( asal keluarga dari wilayah kwang tung, selatan china) dan mempunyai empat anak mengakui situasi ditempuh pada awalnya agak sukar kerana terpaksa menyembunyikan minat berkaitan Islam daripada pengetahuan keluarganya.

“Saya yang belajar di tingkatan empat di sebuah sekolah di Sabah ketika itu berada dalam keadaan samar dan masih tercari-cari Tuhan sebenar selain mahu mengetahui secara lebih mendalam berkaitan asal-usul manusia dan tujuan kehidupan di dunia.

“Saya kemudiannya tertarik dengan fitrah tulang rusuk lelaki yang kurang daripada kaum wanita dan membuat perbandingan antara kitab Injil serta al-Quran.

“Selepas 11 bulan melakukan pembacaan dan rujukan, saya merasai wujud beberapa perbezaan agak ketara antara kedua-duanya lalu mengambil keputusan untuk memeluk Islam pada pagi 26 November 1983 di rumah seorang guru saya,” katanya kepada Metro Ahad di sini.

Beliau kemudian memaklumkan perkara itu kepada keluarganya yang menghormati keputusan itu dan hubungan antara mereka masih utuh serta baik seperti biasa.

“Saya cuba memberi penerangan lebih lanjut berkaitan Islam kepada keluarga namun mereka masih was-was mengenainya. Pada April 1985, bapa tiri saya dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan kronik dan saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya tiga hari kemudian.

“Ibu saya (Aishah Chin Szi Kiaw, 73) menceritakan bahawa dia bermimpi arwah bapa hadir memberitahu sudah memeluk Islam. Saya bersyukur kerana ibu dan seorang adik lain akhirnya memperoleh hidayah kerana turut mengikut jejak kami pada pertengahan 1987,” katanya yang kemudiannya melanjutkan pengajian di Universiti Pertanian (kini Putra) Malaysia (UPM) di Bintulu.

Kata Taufiq, hatinya semakin tenang selepas memeluk Islam sehingga membolehkan beliau menamatkan pengajian di University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST) di United Kingdom (UK) dalam jurusan Sains Katalisis sebelum bertugas sebagai pensyarah di UPM Serdang.

“Kehidupan saya bertambah sempurna apabila menikahi isteri, Dr Amalina Abdullah, yang berusia 46 tahun dan hasil perkahwinan, kami dikurniakan empat anak. Hubungan saya dengan keluarga berbangsa Cina lain juga baik malah kami turut bersama-sama menyambut Aidilfitri,” katanya.

Menurutnya, antara motivasi untuk dirinya berjaya ialah tidak mahu dipandang rendah atau diperlekehkan oleh masyarakat terutama bukan Islam.

“Saya sentiasa berkejar untuk mencari kejayaan dengan menjadikan Islam sebagai inspirasi. Antaranya mencontohi ketamadunan dan tokoh Islam terdahulu. Saya mahu membuktikan bahawa Cina Muslim seperti saya juga boleh berjaya dan mencari rezeki halal untuk keluarga.

“Apa yang penting ialah mencari ilmu sama ada duniawi dan akhirat. Tingkatkan tahap pendidikan kerana kerajaan sememangnya menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kepada golongan saudara baru. Selain itu, kita perlu sentiasa berusaha dan berdikari tanpa sesekali berputus asa untuk mendapat apa yang kita mahu,” katanya.


No comments: