Monday, August 27, 2012

Tumasik Network

Kumpulan guna dinar dan dirham dalam urusan sesama sendiri

Wakala Dinar Dirham Users Network Tumasek tidak salahi aturan

Oleh
Saini Salleh


SEDANG dunia menggunakan wang kertas untuk urusan jual beli dan pelbagai kegiatan ekonomi, sekumpulan anggota masyarakat Melayu/Islam setempat pula menggunakan syiling emas dinar dan syiling perak dirham sesama mereka.
Namun, penggunaan wang Islam itu hanya terbatas di kalangan individu dan peniaga yang menganggotai kumpulan yang dikenali sebagai Wakala Dinar Dirham Tumasik Users Network.
Wakil yang juga salah seorang penggerak utama kumpulan itu, Ustaz Mohd Noor Deros, 26 tahun, berkata kumpulannya ditubuhkan pada pertengahan tahun lalu.
‘Kami sudah ada laman Facebook sendiri yang menarik sekitar 1,400 anggota. Laman sosial ini menjadi wadah bagi anggota kami bertukar-tukar pandangan dan mendapatkan maklumat mengenai penggunaan dinar dan dirham.
‘Laman ini juga digunakan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai manfaat menggunakan dinar dan dirham berbanding wang kertas.
‘Meskipun bilangan pengunjung semakin meningkat, yang bergerak aktif dan telah mula menggunakan kededua syiling tersebut sekitar 40 orang,’ kata Ustaz Mohd Noor.
Syiling dinar yang mereka gunakan adalah dinar emas Kelantan dan dirham yang dihasilkan di Dubai.
Nilai dinar dan dirham ditetapkan berdasarkan harga semasa kedua-dua komoditi itu.
Satu dinar bersamaan dengan $360 dan satu dirham pula bernilai $13.
Selain Kelantan, kededua mata wang itu juga digunakan di sesetengah bahagian Indonesia dan Kazakhstan.
Pemeriksaan Berita Harian mendapati kegiatan kumpulan itu tidak melanggar Akta Mata Wang setempat kerana adalah satu amalan biasa bagi sesetengah peniaga menggunakan mata wang asing seperti dolar Amerika Syarikat dalam transaksi mereka.
Ditanya punca kumpulannya beralih kepada kedua-dua mata wang itu, Ustaz Mohd Noor, lulusan Usuluddin Universiti Al-Azhar, berkata:
‘Penggunaan wang kertas menyaksikan dunia dilanda krisis demi krisis ekonomi, termasuk inflasi kerana ia digunakan atas dasar riba tanpa usaha dan banyak risikonya.
‘Dulu memang wang kertas dicetak berdasarkan sokongan sejumlah emas tetapi sekarang negara-negara mencetak wang atas dasar keyakinan, penerimaan orang ramai dan pertumbuhan ekonomi.
‘Justeru, nilai wang kertas dicipta bukannya bersandarkan emas. Kerana itu, nilai wang kertas tidak stabil berbanding emas dan perak. Sistem muamalat adalah lebih selamat.’
Menurut beliau, dinar emas dan dirham perak tidak boleh dicipta sesuka hati dan ia boleh digunakan sepanjang zaman.
Umumnya, berat 1 dinar ialah 4.25g emas berketulenan 22k (91.7 peratus); manakala 1 dirham bersamaan 2.975g perak tulen.
Menurut beliau, sebanyak 786 mata wang kertas pernah digunakan di negara-negara di dunia tetapi yang masih digunakan hanya sekitar 20 peratus sekarang ini.
Ustaz Mohd Noor akur penggunaan dinar dan dirham itu tidak akan dapat menggantikan wang kertas dalam masa terdekat kerana dunia terikat dengan sistem mata wang yang ada sekarang.
‘Sistem ekonomi, perbankan, perdagangan dan mata wang dunia perlu dirombak jika penduduk dunia mahu beralih kepada sistem mata wang dinar dan dirham,’ kata Ustaz Mohd Noor sambil berkata kumpulannya tidak menolak dolar Singapura ketika berurus niaga sesama mereka.
‘Saya masih menggunakan wang dolar Singapura untuk bayar bil dan membeli barangan seperti biasa,’ tambahnya.
Menurut beliau lagi, kumpulannya tidak menggalak orang ramai menyimpan dinar dan dirham untuk tujuan pelaburan.
Menurut beliau, kedua-dua wang syiling itu tidak sukar didapati di sini kerana terdapat beberapa peniaga yang menjual dan membelinya.
‘Sistem ekonomi, perbankan, perdagangan dan mata wang dunia perlu dirombak jika penduduk dunia mahu beralih kepada sistem mata wang dinar dan dirham. Saya masih menggunakan wang dolar Singapura untuk bayar bil dan membeli barangan seperti biasa.
- Ustaz Mohd Noor Deros yang akur penggunaan dinar dan dirham itu tidak akan dapat menggantikan wang kertas dalam masa terdekat.

No comments: