Monday, July 29, 2013

Sabit Januari Dzul Hijjah Di Nusantara


Sabit Januari Dzul Hijjah Di Nusantara  
Komentar Keatas Sajak Dr.Abdad al-Rauwi 
 
Alangkah indahnya jika sang pencari berbisik halus
Dimalam sejuk angin utara berhembus ke pulau mutiara
Gelora kasih tiada padam dek riak air telaga tujuh 
Dari setitis air Yunus dia menjadi danau dan laut

 Cintanya menderu dialunan jalal Diwan al-kamil 
 Ahmad Thomson sudah berkunjung ditaman zikir 
Dihadapan deru hempasan ombak Lakal Hamdu dikarang
Syahdunya angin malam bergema di Jabal Alam 
Setelah sampai ke Mekah dan Madinah disuruh pulang 
Demikian Abu Hassan Shadhili mendaki dan menuruni
 Gunung-gunung Timur Barat dan kilau ulamak duniawi 

Sinar fajar purnama bertebaran pada qalbu para Awliya 
Firasat Wali Bahlil pernah berguru kepada Shaykh Alawi
sudah membaca riak air muka fuqara Malaysia 
Tanya pada lima serangkai yang bertemu baraka itu 
Ahmad Atjie bersusah payah kembara dari Bandung 
Membawa dua sahabat terbang hingga ke Tangier 

Nakhoda Kapal sedang mengadakan perayaan besar 
Ayuh kamu naik semua ke Bahtera Nuh Zaman
 Makanlah sirr bijian dan tanaman yang akan bercambah 
Tidak boleh bertayamum jika menjumpai Air Segar 
Alangkah sukar berebut kasih dengan ratusan ribuan fuqara 

Dari negeri china hingga hujung benua di Chiapas
 Bersama Amir Nafia dan Hajji Issa, engkau lihat satu kampung
Dan zawiya kayu dan tanah hampir mencecah kepala 
Jambak suffina dirai kanak-kanak dan wanita 
Bukan hanya lelaki gah bicara dan membaca
 Para sarjana dan doctor falsafah tidak bisa mengalah
 Aku aku aku lebih bijaksana dan banyak ijazah.

Tapi mana bunga boi wangi setiap musim haji  
Pulau Bintan dan Penyengat seluruh Riau menyambut kami 
Tuhfah al-Nafis bagai bersinar kembali tatkala 
Melangkah masuk ke mesjid Sultan putih kuning hijau 
Hujan gerimis pagi 11 Disember 2005 menyatukan jiwa resah
Lima paksi atau makam Sultan dan Yam Di Pertuan Muda 
Disisinya kubur sang Wali Sheikh Habib Hussein al-Alawi
 Maka kami bacakan Fatihah dan Qul HuwaLlah  
Untuk roh shuhada para wali dan raja sultan beriman 
Termasuk al-marhum Raja Ali Haji Syahid bertempor Belanda.

Bukan naik kapal feri 200 penumpang atau perahu pompom 
Dari Stulang Laut merentas 150 km ke Tanjung Pinang  
Tatkala terlupa membawa naskah Diwan kerana disangka  
Singkat ziarah pagi Ahad namun jangan lupa doa banyak-banyak
Demikian pesan sang amir Johor yang pernah bersua fuqara tua 
Dipadang pasir ceruk Sahara, maka lagu Lakal-Hamdu jadi penyatu 

Semerbak Fansuri yang hilang akan harum lagi 
Diatas banjaran gunung , pulau dan tasik serata Nusantara
Begitu juga zikir Ala Ya Latifu dan Ya Hafizu 
Habis makam-makam dan istana dan kubu diterokai 
Membuka rahsia nur dan baraka dengan kunci al-Miftah  

Bergembiralah oh muridku, seru Guru kami suatu hari 
dia turun dari biliknya atas bangunan zawiya . 
Tidak pasti di Granada atau Norwich atau Achnairgn 
Sebab adanya Wali Allah dikalangan kamu semua ! 
Ini rahsia baru dibukakan sebentar tadi, bisik sahabatku
Satu malam selepas kembali dari Ribat Ukay Perdana 
Menjadi saksi kepada peristiwa ini dan kisah Imam Yasin Dutton 
Jika ingin tahu- kuncinya Istiqama sepanjang hayat. 

Amat jarang lima fuqara dijemput buka bicara
Seminar Pengakraban Malaysia- Riau.   
Syed Anwar menyingkap mesej Tarbiyya Islamiyya Asliyya.  
 Dr.Hakimi dengan rahsia amar Salat dan Zakat 
Berkelip mata Bapak Huzrin Hood pewaris raja riau   
Segera dicalonkan menjadi amir Riau selepas keluar penjara . 
 Diambang Shawal bahagia dari penjara Sukamiskin Bandung.  
 Satu kamar dengan Pak Sukarno ditahan tidak lama dulu 
Sempat dia mengarang buku Kerana Aku Bukan Robin Hood
Dan diizin keluar bertemu dan berbayat pada Rais Abu Bakr Rieger 

 Oh Nusantara, Oh Bandung, Oh Penang, Oh Patani, 
Oh Kuala LumpurOh Riau, Oh Singapura…
pemburuan ruh-ruh gersang dimulakan
 Lupakan sebentar Brunei dan Mindanao serta ribuan pulau rempah.
Apabila Shaykh Darqawi keluar dari gua khalwa di Tafilalet 
Atau Kota Fez penuh baraka dan misteri ahli sufi dan umara 
Kamu bebas sekarang, menyanyi atau berzikir sambil berdiri 
Berjalan dan berkenderaan atau pesawat moden tiada kisah 
Asalkan mendapat IZIN, SIRR dan  IRSYAD sang Murshid 

Seperti serangkai bayt dari Diwan :
Lakal-Hamdu Ya Dzal-Hilmi wa Afwi wal-Sitri  
Wa Zidna min Na’mai wa Nuri wa Kasyfi
Wa Makin-na fil-Irsyadi bi-Izni wal-Sirri  
Wa Salli bi-Anwai Kamalati Kulliha  
 Ala Ahmadi Hadi ila Hadrati Thuhri 

Ledak bumi lontar metamorphosis lihatlah Eropah 
Tiga puluh tahun dahulu, zawiya tanpa letrik di Bristol Garden 
Salat dan zikir di Hyde Park London, diceruk Copenhagen .
 Dimana seorang faqir Malaysia akhirnya bertemu lawan sebenar.  
Masjid dan ribat Granada masa itu terselit dihati lima pemuda 
Berkunjung ke London bertemu Sang Muqaddim.
 Kini tersergam indah setiap minggu ada saja pelawat 
Mengukir cinta dan melafaz kata Syahadah.

Kemudian, di Dresden, Weimar dan Berlin bangkit 
Bibit-bibit muzik, falsafah dan mutiara Goethe, Wagner, 
Nietzche, Mozart, Beethoven, Bach, Heidegger dan Achilleus
  Siapa kenal nama-nama ini, Habib Dahigen, Osman Mossignon 
Abdal Basir Ojembara, Hasib Castiernera, Abdus Samad Kirke.

Pesan Hikam Athaillah : Benamkan wujudmu dibumi sepi.  
Supaya kelak tumbuh hikmah dan buah ilmu 
Dihari kemudian apabila pohon sudah matang dan kuat. 
Jika belum tiba musim, apa jua buah, bunga dan lagu
 Yang dipaparkan adalah metafora bahasa dan puisi saja.
 NurNya pancaran dihati kekasih tersembunyi melepasi bintang 
Sudah bersambung jambatan antara benua-benua sensori. 
 Dan bakti kita pada tariqa dan salikin sentiasa menaungi.

 Singgahlah fakir dan musafir, pintuku terbuka menanti
 Hidangan cangkir tea jasmin dan shushien pilih sendiri. 
 Dimana ada halaqah dan jalal selawat nabi, lupakan sebentar 
Jawatan professor, menteri atau pangkat gaji 
Atau jarak kilometer serta harga minyak atau tenaga zahir.
Debu-debu dijalanNya lebih mulia dari cahaya tivi 
 Kini tiba Musim bermusafir lagi dengan jemputan
 KenduriDi Gurun pasca moden memasang kereta dan motor
 Ayuh fuqara membuka tirai Miftah al-Wird 
Kemudian mendendang lagu Qasidah dan Salawat Burdah
Sejuta doa membangkitkan cucu cicit Alim Awliya

 Dikirim Angin hujan dan ribut Disember  
Bersua Nurnusantara dan anak Naga Benua Utara    
Insya’ Allah, dari kitab ke kitab, lembar ke lembaran dan  
Baris-baris sajak, diselangi Tsunami dan Gempa 
Merentangi lima Benua Asia, Afrika, Eropah dan Amerika 

Semuanya berasal dari setitis TintaNya 
Tiada kamu dikurniai Ilmu melainkan sedikit 

18 Januari 2006-Abu Zuhri Hakkawi

No comments: