Artikel sumbangan Aliff Basri :
Musafir ke Kelantan pada Khamis lalu,
sempena pelancaran Dinar dan Dirham kelantan di Kelantan Trade Center,
Kota Bharu, meninggalkan 1001 nostalgia yang tidak boleh dilupakan.
Bermula dengan cara bagaimana proses hendak ke sana, pengisian selama
saya di sana, sehinggalah dalam perjalanan saya pulang ke Kuala Lumpur
pada hari Jumaatnya.
Salah satu pengalaman sepanjang berada di
Kelantan ialah diskusi-diskusi ringkas tetapi mendasar, antara saya
bersama Prof umar Vadillo, berkenaan dengan perjuangan meletakkan semua
kerangka Muamalat Islam ditempat asalnya. Beberapa diskusi berlaku,
bukan sahaja antara saya dengan beliau, tetapi juga meliputi bersama
beberapa orang pemuda dari Selangor, kedah, Palestin, Singapura dan
beberapa lagi negara lain.
Diskusi kali ini, prof Umar menekankan
aspek tujuan, asas, dan fokus utama, mengapa isu Muamalat Islam ini
perlu di perjuangkan. Selama hampir 3 jam diskusi, beliau menekankan
kepentingan perjuangan ini adalah sebagai tanda keimanan kita kepada
Allah swt. Sebagai tanda rasa cinta dan kesungguhan serta ‘kegilaan’
kita kepada Allah swt. Sebagai tanda ketaqwaan kita kepada Allah swt.
Ini penyebab utama, mengapa Muamalat Islam ini diperjuangkan.
Beliau tidak menafikan, terdapat
manfaat-manfaat lain yang akan diperolehi apabila penggunaan
dinar-dirham berlaku dalam masyarakat, seperti kalis inflasi, menjaga
kekayaan yang diperolehi, keadilan dan sebagainya. Tetapi yang lebih
utama daripada itu adalah sebagai tanda keimanan dan keyakinan kita
terhadap ayat-ayat Allah yang menceritakan perihal penggunaan
dinar-dirham sebagai medium pertukaran zaman berzaman.
Saya melihat perkara ini dari dua sudut.
Sudut pertama adalah dari sudut pengkajian berterusan untuk memastikan
peng-implimentasi-an sistem ekonomi berasaskan emas dapat dilaksanakan
dengan baik, menggunakan mekanisma-mekansima tertentu. Dari sudut lain,
saranan daripada al-Quran yang berulang kali menyebut perihal penggunaan
dirham (sebagai contoh) dalam kisah-kisah al-Quran, seperti kisah
Ashabul Kahfi, Nabi Yusof AS dan lain-lain kisah, merupakan satu hikmah
yang perlu dirungkai oleh umat Islam khususnya dalam usaha memahami
mengapa penggunaan dinar-dirham ini menjadi wajar diletakkan pada tempat
asalnya.
Sejak pelancaran Dinar dan Dirham
Kelantan pada minggu lepas, bersamaan dengan 2 ramadhan 1431H, pelbagai
pihak merespon isu ini melalui kaca mata masing-masing, hujah
masing-masing berdasarkan pembacaan, perbincangan, pembelajaran dan
diskusi masing-masing. Ini adalah petanda positif kerana masyarakat
Malaysia mula cakna isu pengembalian dinar-dirham sebagai medium
pertukaran. Tidak kurang juga banyaknya respon-respon yang terbit atas
dasar jahil terhadap apa yang diperkatakan, terutama yang berstatus
‘menteri’, kerana ia mencerminkan ketidak-layak-kan seseorang itu berada
di kedudukan antara yang tertinggi dalam ekonomi negara Malaysia ini.
Sudah sampai masanya, kita mengambil
perhatian untuk mengkaji lanskap sistem ekonomi baru bagi bersedia
menghadapi kejatuhan dan kebobrokan sistem kapitalis-liberalis yang
semakin komplikated(contohnya: dari segi inovasi instrumen kewangannya)
sehingga memaksa para eksekutif syariah institusi-institusi kewangan
‘terpaksa’ mengikut arus ‘islamisasi sistem kewangan’ (terma yang
sebenarnya saya tidak suka guna) semasa.
Perkara yang saya pelajari dalam hal ini,
ialah keperluan kepada persediaan kendiri dalam usaha mencari solusi
kepada permasalahan ekonomi dan kewangan semasa dengan menjadikan
keimanan, ketaqwaan dan rasa cinta pada Allah sebagai asas pertama dan
penting untuk merealisasikan kesinambungan perjuangan ini.
Satu perkara yang penting juga untuk
ditegaskan ialah, perjuangan dinar-dirham ini bukan semata-mata emas dan
perak itu sendiri, tetapi sebagai tanda keyakinan atas kebijaksanaan
Allah swt dalam menjelaskan perihal dinar-dirham sebagai medium
pertukaran.
Lagi satu, pengimplimentasian
dinar-dirham ini hanya merupakan langkah pertama daripada beberapa
langkah seterusnya yang akan membawa kepada perubahan lanskap ekonomi
semasa.
Perjalanan masih jauh, kerja para
‘alim-ulama’ yang ahli semakin diperlukan untuk merealisasikan perkara
ini, oleh itu, bagi sesiapa yang ingin turut serta dalam dalam
perjuangan bersifat intelektual ini, amat digalakan dan ia adalah
peluang untuk kita semakin mengenal Allah!
No comments:
Post a Comment